Saturday, 20 October 2012

Nilai Sebuah Kemaafan


Suatu ketika, pernah kah kita merasa seolah-olah ada sesuatu yang menganggu ruang fikir kita. Kita mencari-cari di mana arah punca gangguan itu. Hati kita terasa seperti berbuat silap. Tapi semakin kita mencari, semakin pula kusut ruang fikir kita. 
Pada satu saat yang lain, pernah kah kita tertanya sendiri, kenapa hati tidak tenang? Kenapa hati terasa masih lagi gelisah? Kenapa fikiran selalu saja melayang mengenang perkara-perkara pahit? Kenapa selalu saja rasa sendu dan duka, kadang melarat dari pagi membawa ke petang.
Sedangkan tangan masih ditadah, masih lagi berbicara doa pada Allah. Meminta itu ini, mengadu begitu begini. Memohon agar diampunkan semua dosa dan kesalahan diri. Namun hati, masih juga buntu dalam menemui erti ketenangan yang sebenar.
Kita muhasabah.... 
Mungkin kita tidak tersedar, rupanya ketika bibir laju memohon ampun, kita sendiri belum lagi menghulur maaf. Bagaimana harus ditemui ketenangan, andai masih lagi berbekas rasa. Bagaimana mesti kita diampuni, andai masih lagi belum rela melepaskan rasa dalam hati. Kita ingin Allah mengampunkan dosa kita, tetapi kita lupa memberi maaf pada mereka yang bersalah. Kita membuat mereka terluka. Terluka dengan sikap kita.
Memaafkan bukanlah mudah. Kita manusia fitrahnya sentiasa  berteman khilaf. Yang selalu kalah dengan ujian yang Allah beri. Yang selalu dan tak malu mengaku lemah. Sedangkan Allah terang-terangan lebih menyukai mukmin yang kuat berbanding mukmin yang lemah.
Kita ini manusia, yang selalu bersembunyi di balik dinding bernama mangsa. Kita ini manusia, yang tidak mahu memaafkan hanya beralasan 'kita bukan nabi, kita manusia biasa'...
Kadangkalanya kita mangsa dan mengenang betapa diperlakukan dengan tidak adil, betapa diri dizalimi, betapa diri tidak sepatutnya diperlakukan sebegitu, diperlakukan sebegini... lantas sukar sekali rasa hati untuk memberi sebuah kemaafan.
Mengapa boleh berlaku sedemikian? 
Ya, kerana kita sebenarnya lupa. Yang menggerakkan sesuatu itu adalah Allah. Hati manusia, seperti saya, seperti dia, seperti semua, dipegang oleh Allah. Tiada satu pun yang akan terjadi tanpa izin dariNya. Setiap sesuatu, telah dirancang Allah sebaiknya. Baik atau buruk hanyalah di mata kita, manusia yang terhijab dari segala kebaikan yang Allah telah aturkan.

Tersiratnya, andai kita fikir kita dizalimi oleh manusia, lalu enggan pula memaafkannya, maka kitalah sebenarnya yang zalim kerana sedikit sebanyak, kita ini menuduh perancangan dan gerakan Allah itu zalim. Nauzubillahiminzalik. Astagfirullah.
Sedangkan Allah, pemilik segala sesuatu di langit dan bumi, sedia mengampunkan dosa hatta setinggi gunung. Sedangkan Allah, di dalam al-Quran berkali kali menegaskan yang dia Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang. Sedangkan Dia, yang mahu hambaNya memohon ampun walau berkali-kali melakukan dosa.... Tapi kita, hanya hamba yang kerdil, satu antara jutaan butiran pasir manusia, seakan-akan mahu menumpang hakNya, dengan tidak bersedia memaafkan manusia kerdil lain. Siapa kita? Siapa? 
Benar, memaafkan memang tidak mudah. Memaafkan sedang hati masih berdarah kerana disakiti, memang sukar sekali. Apalagi jika yang mengkhianati tidak pernah peduli. Tidak pernah menghulur maaf. Tidak pernah menunjuk kesal. Malah seakan bergembira, seolah olah tidak pernah berlaku satu apa pun kesalahan atas bahunya.
Ingatlah, jalan ke syurga itu tidak mudah. Mahu ke syurga itu perlu diselangi dengan jerih payah. Maka, perlu apa kita mengeluh kesah?
Percayalah, bila mana memaafkan maka perlahan-lahan rasa itu pasti datang. Rasa tenang. Rasa damai. Rasa lapang. Bila mana tangan ditadah, lalu memaafkan setulus hati, dapat dirasa hati bersorak girang. Hati terasa bebas dari dendam dan amarah kerana kita tidak lagi menanigisi sesuatu yang telah terjadi.
Didiklah hati itu agar sentiasa mendoakan mereka yang telah mengkhianati kita. Walau sakitnya bagai tusukan sembilu, doakanlah kerana tidak merugi orang yang membalas kejahatan dengan kebaikan.
Sukar. Sudahlah memaafkan itu payah, lagikan pula mendoakan untuk mereka? Tapi percayalah, memberi kemaafaan itu memberi jalan tenang, memaafkan itu membuka hati semakin lapang. Mendoakan buat mereka yang menganiaya adalah kemuncaknya. Hakikatnya merekalah sebenarnya yang patut dikasihani, kerana bukan saja mereka menzalimi kita, tapi juga menzalimi diri mereka sendiri... Bukankah orang seperti itu patut didoakan?
Walaupun pada saat ini mereka menyakiti dan menzalimi diri kita, mereka dikatakan seorang yang zalim bukan sahaja ke atas diri sendiri malah ke atas diri orang lain juga. Namun, kita tidak tahu bagaimana pengakhiran sebuah kehidupan di masa akan datang antara kita dengan orang yang menzalimi kita itu. Boleh saja orang tersebut menjadi lebih mulia di sisi Allah SWT berbanding diri kita sendiri. 

Andai belum pernah mendoakan yang baik-baik untuk mereka, maka pintalah. Setiap kali berdoa, pintalah kebaikan untuk mereka. Janganlah sesekali kita mendoakan keburukan buat mereka. Sebaik-baik mukmin dan 'sekuat-kuat' mukmin itu ialah dia tidak membalas kejahatan, kemarahan, kesakitan yang diberikan oleh mukmin yang lain sekalipun dia berkuasa dan berupaya untuk membalasnya.
Maka doakanlah dirinya dan jangan lupa agar istiqamah untuk mendoakan kebaikan juga buat diri kita sendiri.
Ya Allah,
Ampunilah dosa dan ketelanjuran kami,
Jauhkan kami dari cuba menumpang hakMu,
Jauhkan kami dari rasa dendam dan sakit,
Kami manusia, yang tidak malu berbuat dosa,
Yang tidak segan mengumpul noda,
Ampunilah kami, hambaMu yang hina,
Berikanlah kami hati yang tabah, hati yang kuat,
Untuk memberi maaf, demi mencari ampunanMu...
Amin ya Rabb.

Khabarkanlah Cintamu Kepada Allah


"jika kita mencintai seseorang biarlah kita mendiamkan diri kerana apabila kita diam itulah yang menjadi tanda cinta kita pada nya. Dan khabarkanlah perkara ini kepada Allah, kerana dia mengetahui segalanya daripada kita"


"Cinta Mengikut Islam" :


1 ) Pendam dan luahkan pada Allah


2) Nilai dan selidiki sebelum mencintai


3) Jauhilah 'bercouple"


4) Solat Istikharah dan musyawarah (berbincang)


5) Bertindaklah ke arah kesempurnaan Iman

Friday, 11 May 2012

nikah khitbah...


Secara literalnya, ia membawa maksud “bertunang”. Bertunang menurut adat dan pengamalan orang Melayu adalah perjanjian di antara dua orang insan untuk berkahwin melalui proses ritual tertentu. Definisi itu jugalah yang terdapat dalam pengamalan fiqh klasik dan juga di zaman Rasulullah s.a.w. Definisi ini jugalah yang diamalkan oleh orang-orang Melayu di Malaysia. Malangnya, disebabkan kejahilan masyarakat, hubungan pertunangan yang sekadar perjanjian semata-mata ini, akhirnya dianggap sebagai upacara untuk menghalalkan perhubungan di antara dua pihak yang bertunang. Lebih dahsyat lagi, ada di antara ibu bapa yang menyangkakan bahawa bertunang bermaksud “separuh berkahwin”. Ada pasangan yang bertunang, berpelesiran, berpegangan tangan dan juga bermadu asmara akan cuba menjustifikasikan tindakan tersebut dengan ikatan pertunangan serta mendapat restu ibu bapa kedua-dua belah pihak. Lebih menyedihkan ada yang bertunang kemudian ber'coupling' berakhir dengan keterlanjuran, kemudian putus dengan pelbagai alasan.

Khitbah menurut pengamalan orang Arab moden, terutamanya di Jordan pula amat berbeza dengan pengamalan orang bertunang secara klasikal dan juga pengamalan orang Melayu. Ia merupakan “akad nikah” dalam erti kata yang sebenar. Akad khitbah di dalam masyarakat arab pada realitinya merupakan akad nikah. Seperkara yang membezakan di antara akad nikah dan khitbah ialah kedua-dua pasangan khitbah tidak tinggal bersama sehinggalah selesai majlis perkahwinan dijalankan. Pada dasarnya, mereka berdua adalah suami isteri dan halal untuk melakukan apa sahaja yang difikirkan untuk mereka melakukannya. Di dalam masyarakat kita, pernikahan tersebut diberikan nama “nikah gantung” (bunyinya amat mengerikan?)

Jika ditukarkan nama “nikah gantung” tersebut kepada “nikah khitbah” tentu konotasi terhadap kontrak tersebut tidaklah mengerikan. Bunyinya pun agak “islamik”. Jika ia dapat diamalkan oleh kebanyakan pemuda pemudi kita hatta yang janda,duda atau yang nak berpoligami serta yang dilanda asmara dan cinta serius berkemungkinan ia boleh menyelesaikan banyak perkara yang mereka hadapi.

Nikah adalah untuk menghalalkan perhubungan dan juga membina kematangan. Yang utamanya, kedua-dua pasangan sudah halal dan sudah boleh bersama dan melakukan apa sahaja.Bunyinya agak mudah, namun realitinya tidak demikian. Sudah pasti ada ibu bapa akan tidak bersetuju. Dalam hal ini, anjakan paradigma oleh para ibu bapa amat diperlukan. Ibu bapa perlu sedar zaman anak-anak mereka kini bukanlah seperti zaman mereka dahulu. Zaman kini fitnahnya berleluasa dan kebejatan moral menggila. Lihatlah apa yang berlaku di seluruh tanah air, rasanya pendedahan oleh sebuah akhbar harian baru-baru ini mengenai aktiviti pengguguran cukup merisaukan banyak pihak. Apakah ibu bapa mengharapkan anak-anak mereka menjadi malaikat yang tidak terpengaruh dengan suasana persekitaran, rancangan-rancangan hiburan dan bahan-bahan literasi menjurus ke arah maksiat dan nafsu.

Sudah sampai waktunya para ibu bapa moden membuat anjakan paradigma. Mereka hendaklah menerima realiti jahiliah moden yang menggila ini. Mereka menghadapi dua jalan penyelesaian, sama ada menerima arus liberal dan sekular yang menghalalkan segala perhubungan bebas di antara dua jantina, dan kemudian mereka yang akan menanggung malu. Atau pilihan kedua, iaitu untuk membenarkan anak-anak mereka menikmati alam percintaan dengan cara yang halal, iaitu melalui ikatan perkahwinan. Walau bagaimanapun, membenarkan anak-anak mereka bernikah di dalam ini adalah satu risiko. Maka di sinilah peranan ibu bapa moden untuk membantu anak-anak mereka mengurangkan risiko tersebut demi menyelamatkan agama dan maruah mereka.

Saturday, 24 March 2012

pengalaman baru di uitm shah alam...

Hari pertama menjejakkan kaki ke uitm shah alam merupakan pengalaman yg cukup indah bagi aku.
Aku terpaksa berjalan kaki dan mendaki cerun bukit untuk pergi ke kelas... kelas pertama aku bermula pada hari isnin 5/3/2012... aku dan rakan-rakanku mengambil keputusan untuk menaiki tangga untuk ke fakulti kami... tidak aku sangka, tangga sebanyak 92 anak tangga itu membuat aku tercungap-cungap ketika aku sampai di fakulti... setibanya di fakulti,kami bergegas ke board berdekatan cafe untuk melihat jadual kelas masing-masing...

Kelas aku pada hari isnin ialah pada pukul 6.10 petang - 9.00 malam... ya allah, kelas malam... ku perhatikan lagi jadual kelas untuk hari berikutnya... ada juga kelas malam pada hari jumaat... apalah nasib... aku begitu teruja untuk memulakan pengajianku di fakulti komunikasi dan pengajian media... menarik saja bunyinya kan?
aku berjaya menempatkan diri di kolej melati bersama teman bilikku, nur adibah nor azmi...

Kini telah genap 3 minggu aku di sini... alhamdulillah, aku dapat menyesuaikan diri dgn baik dan segalanya berjalan dgn lancar... lecturer semua baik-baik belaka... subjek utk sequence aku pula sgt menarik dan mudah utk difahami... syukur ya allah... hari jumaat lepas, 23/3/2012, aku telah menghadiri satu sesi temuduga utk menjadi sekretariat mpp di uitm... alhamdulillah, aku dapat menjawab soalan yg diajukan oleh kakak-kakak sekretariat mpp di sini...

Aku juga telah dilantik utk menjadi class rep oleh salah seorg teman seperjuanganku, azri... walaupun berat tugas dan amanah yg diberikan, aku akan cuba menjalankan tanggungjawabku dengan sebaik mungkin... aku tidak keseorangan di sini... hatiku berasa amat gembira sekali kerana org tersayang sentiasa berada di sisi memberikan semangat dan dorongan utk aku terus belajar di sini agar menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat, insyaallah...

Aku berharap agar aku dapat belajar dgn tenang dan gembira bersama teman-teman seperjuangan di sini... doaku agar aku berjaya mendapat pointer yg diinginkan dan sentiasa berada di bawah rahmat dan redha allah...amin...




Friday, 16 March 2012

amalkan akhlak mulia...

1. Bersikap benar dan amanah.
    Amalkan sebaik mungkin supaya org sekeliling berasa selesa dengan kejujuran kita.


2. Menjaga maruah diri.
    Amalkan sebaik mungkin supaya org sekeliling menghormati pegangan agama kita.


3. Bersabar ketika menghadapi kesusahan.
    Amalkan sebaik mungkin supaya org sekeliling sentiasa berlapang dada membantu kita.


4. Menepati dan menunaikan janji.
    Amalkan sebaik mungkin supaya org sekeliling percaya dan menghormati pandangan kita.


5. Berani dan pemurah.
    Amalkan sebaik mungkin supaya org sekeliling sentiasa bersama kita dalam susah mahupun senang.


6. Berlemah lembut dgn makhluk lain.
    Amalkan sebaik mungkin supaya org sekeliling berasa selesa di samping kita.


7. Berasa mulia dgn keimanan.
    Amalkan sebaik mungkin supaya org sekeliling menghormati dan menghargai bahawa Islam itu indah.

Saturday, 10 March 2012

cantik di hati...

ambillah waktu untuk berfikir,
itu adalah sumber kekuatan.

ambillah waktu untuk bermain,
itu adalah rahsia dari masa muda yang abadi.

ambillah waktu untuk berdoa,
itu adalah sumber ketenangan.

ambillah waktu untuk belajar,
itu adalah sumber kebijaksanaan.

ambillah waktu untuk mencintai dan dicintai,
itu adalah hak istimewa yang diberikan Tuhan.

ambillah waktu untuk bersahabat,
itu adalah jalan menuju kebahagiaan.

ambillah waktu untuk tertawa,
itu adalah muzik yang menggetarkan hati.

ambillah waktu untuk memberi,
itu adalah membuat hidup terasa bererti.

ambillah waktu untuk bekerja,
itu adalah nilai keberhasilan.

ambillah waktu untuk beramal,
itu adalah kunci menuju syurga.


Wednesday, 15 February 2012

sedarkah dirimu wanita?


Cantiknya seorang wanita itu sebagai GADIS
Bukan kerana merah kilauan lipstik
Pada bibir memekar senyuman kosmetik
Tetapi pada keperibadian terpelihara
Kelembutan kesopanan menghiasi jiwa

Cantiknya seorang wanita itu sebagai REMAJA
Tidak pada kulitnya mulus menggebu terdedah
Untuk menggoda pandangan nafsu mata
Tetapi pada kehidupan terjaga
Dari menjdai mangsa tohmahan dunia

Cantiknya seorang wanita itu sebagai HAWA
Tidak kerana bijak meruntun iman kaum Adam
Sehingga turunkan insan ke dunia
Tetapi menjdi pembakar semangat perwira
Menjadi tunjang perjuangan syuhada

Cantiknya seorang wanita itu sebagai ANAK
Tidak menjerat diri pada lembah kedurhakaan
Mengalir mutiara di kelopak mata
Tetapi menjadi penyelamat ibu bapa
Pada hari kebangkitan bermula

Cantiknya seorang wanita itu sebagai ISTERI

Bukan kerana peneraju kerjaya dalam rumahtangga
Tetapi sentiasa bersama
Menempuh badai disisi suami tercinta

Cantiknya seorang wanita itu sebagai MENANTU
Bukan kerana kemewahan dimata
Tetapi bijak dalam menjauhi persengkolan ipar lamai
Menjadi penghibur hati permata kehidupan

Cantiknya seorang wanita itu sebagai IBU
Bukan terletak pada kebangkitan anak
Dalam setiap pertelingkahan
Tetapi dibawah lembayung kejayaan
Membuai anak dikala suami menjalin impian

Cantiknya seorang wanita itu sebagai MERTUA
Tidak kerana berjaya meruntuh istana
Tetapi jalinan kasih sayang
Tulus hati mengagih kasih setara pada semua

Cantiknya seorang wanita itu sebagai NENEK
Bukan memberi harta dunia
Sehingga generasi lupa
Tetapi menjadi pada pendita
Menjaring teladan para anbia pada anak bangsa

Cantiknya seorang wanita itu sebagai WARGANEGARA
Bukan kerana menyandang puncak dunia
Tetapi bijak menangkis rintangan
Peka membela nasib dan maruah negara
Menjadi tulang belakang keteguhan semua

Cantiknya seorang wanita itu sebagai WARGA TUA
Bukan kerana jernihnya mutiara
Mengalir deras di kelopak mata
Tetapi senantiasa mengumpul cahaya
Menghitung hari dengan selembar nasihat

Cantiknya wanita itu sebagai INTELEKTUALIS
Bukan kerana menjadi sebutan
Sehingga menjulang keegoaan
Tetapi dalam mencari ilmuan
Menyala obor mewangi setanggi profesionalis

Cantiknya wanita itu sebagai MUSLIMAH
Bukan kerana keindahan paras rupa
Sehingga menjadi igauan mata
Tetapi berpegang Akidah Solehah
Disebalik tirai jiwa
Mengandam rindu kekasih pasrah di atas sejadah
Mengharap keredhaan kehidupan awana





Perempuan yang suci
Adalah perempuan yang dijaga oleh Allah
Tidak sedikit pun Allah membenarkan
Mana-mana lelaki ajnabi yang fasik menyentuh dirinya
Walaupun hatinya…
Kerana Allah teramat mencintainya…
Tetapi andai kita bergelumang
Dengan cinta lelaki yang palsu imannya
Di mana Allah untuk menjaga kita
Allah seakan melepaskan kita
Kepada seorang manusia
Yang lebih banyak mengecewakan kita
Jika Allah datangkan kesedaran dalam diri
Supaya meninggalkan cinta seorang lelaki yang munafik
Itu bermakna Allah mahu mengambil kita kembali
Untuk dijaga-Nya, dilindungi…
Mengapa masih ragu-ragu?
Kekuatan usah ditunggu tapi harus dicari
Hargailah di atas kesempatan yang Allah beri…

Wednesday, 8 February 2012

DL kerana Allah...


Kehidupan sebagai seorang pelajar pastilah tidak dapat lari daripada peperiksaan. Apabila menyebut tentang peperiksaan, tidak dapat tidak, keputusan peperiksaan amatlah dititikberatkan. Sudah menjadi lumrah, yang mendapat markah tinggi itu bersalut kegembiraan dan mereka yang mendapat markah rendah berselubung duka.
Setelah keputusan peperiksaan keluar, terdapatlah beberapa orang pelajar yang tidak mendapat markah yang diharapkan. Selepas selesai bermuhasabah, maka mereka berpendapat, belajar bukan kerana Dean list, tetapi belajar kerana Allah. Sekali aku memandang seperti tidak ada yang silap.
Ya, benar! Belajar kerana Allah. Tidak ada yang silapnya di situ.

nikah itu umpama mendirikan masjid...


Pernahkan anda mendengar pepatah mendirikan masjid ? Pernahkah anda mendalami maksud tersirat di sini ? Atau mungkin anda menerima ini sebagai pemanis bahasa semata mata . InsyaAllah hari ini aku ingin berkongsi pendapat tentang perumpamaan ini . Harap dibetulkan andai tersilap di mana mana .
Topik yang aku ingin kongsikan ini juga sedikit sebanyak dapat membantu anda semua tentang nikah , mendirikan masjid . Bagi sesiapa yang berkemungkinan tidak kesampaian lagi hajat mereka , ini boleh dijadikan kekuatan untuk anda semua . InsyaAllah .
Untuk membina sebuah masjid , anda perlulah ada tapaknya dahulu . Di tapak itu lah anda akan pacakkan tiang asas , membina bumbung yang melindung , menyusun batuan untuk dinding , juga mencantikkan masjid itu untuk menyenangkan lagi hati para muslimin muslimat untuk mendirikan solat .
Masih belum mendapat gambarannya ? Baiklah . Akan aku terangkan satu persatu . InsyaAllah .

Langkah pertama ialah dengan memastikan tapak yang sesuai untuk didirikan sebuah masjid . Di sini lah kontraktor , ahli kaji tanah , arkitek dan para engineer memainkan peranan . Mereka akan pastikan tahap keselamatan untuk kawasan tanah tersebut . Mereka akan pastikan kualiti tanah tersebut . Cukup mampatkah tanah itu ? Cukup suburkah tanah tersebut ? Atau jika didirikan masjid di situ akan membawa petaka kepada muslimin muslimat seandainya tanah itu terjerumus ? Atau mungkin tanah itu perlu disuburkan dahulu untuk tempoh masa tertentu bagi menjamin kualitinya ? Mereka tidak mahu masjid ini runtuh suatu hari nanti . Baiklah . Mereka di sini umpama ibu bapa kita , atau penjaga yang bertanggungjawab ke atas diri kita . Merekalah yang akan melihat dan menilai tahap persediaan kita , tahap kematangan kita . Mereka jugalah yang menilai seandainya sudah tiba masa untuk kita bernikah . Mereka tidak mahu terburu buru dalam hal seperti ini kerana khuatir pernikahan yang terjalin akan musnah kerana faktor umur yang tidak sesuai .
Langkah seterusnya ialah mendirikan tiang asas . Tiang merupakan peranan utama dalam sesetiap bangunan . Untuk membina dinding , kita memerlukan tiang . Untuk menaikkan bumbung , kita juga memerlukan tiang . Baiklah . Di sini ana ingin kaitkan tiang dengan agama serta ilmu kita . Sudah cukupkah ilmu kita untuk bernikah ? Sudah bersediakah si suami untuk menjadi suami soleh dan si isteri untuk menjadi isteri yang solehah ? Seandainya masih ragu ragu , usahlah dibina lagi masjid itu . Kerana ia hanya akan meruntuhkan bumbung dan dinding yang terbina . Tianglah memegang tanggungjawab yang paling besar . Ini bermakna , agama dan ilmu lah memainkan peranan yang sangat penting . Tiada agama , tiada ilmu , runtuhlah hubungan tersebut .

Bumbung . Di sinilah mereka berlindung dari hujan dan panas . Bumbung dapat dikaitkan dengan jaminan untuk kehidupan dalam hubungan pernikahan . Sudah pastilah si suami perlu mempunyai jaminan kewangan untuk menanggung kehidupan berumahtangga . Dengan ini , makan pakai tempat tinggal dan keperluan asas yang lain dapat dipenuhi . Seandainya mereka mendapat zuriat , zuriat ini juga terjamin masa depan mereka . InsyaAllah .
Bagaimana pula dinding ? Cantiknya dinding itu apabila kena dengan warna catnya dan kukuh kualitinya . Maka , ramai yang akan tertarik dan pergi ke masjid tersebut . Kerana dindinglah yang menjadi perhatian utama , bukan tiang , bukan tapak juga bukan bumbung . Baiklah . Di sini ana ingin kaitkan dinding dengan penerimaan orang lain , persepsi orang lain . Seandainya orang tidak merestui juga membenci hubungan anda , jangan sesekali berputus asa . Jangan bersangka buruk . Sentiasalah berbaik sangka . Lihat semula , adakah cantik dinding yang kita bina ? Adakah sesuai dengan reka bentuknya ? Adakah warnanya sesuai ? Jika tidak , perbaikilah kembali keadaan masjid tersebut . Kaji semula keadaan tapak , kukuhkan lagi tiang dan carilah atap yang betul betul melindung bagi mendapat dinding yang betul betul cantik .

Seandainya masih lagi belum mampu untuk memenuhi semua keperluan ini , pendamkan dahulu hasrat mulia anda . Kuatkan dahulu diri anda , layakkan anda untuk semua ini , berusaha , berdoa dan bertawakkal lah kepada Allah . InsyaAllah niat yang baik akan sentiasa dirahmatiNya .
Berimpianlah anda untuk membina sebuah masjid seperti Masjidil Haram yang teguh , tersergam indah dan tak henti henti dikunjung muslimin muslimat yang beriman , tanamkan dalam diri anda , cabar diri anda , insyaAllah anda mampu . Bersedialah dengan persediaan terbaik untuk mendapat hasil yang terbaik . InsyaAllah .
Buat  renungan bersama .
Redha dan yakinlah dengan Allah .
Allah sentiasa bersama orang orang yang sabar .

rindu nabi Muhammad terhadap kita...


Adakah kita merindui Nabi Muhammad SAW setiap hari? Atau kita hanya merasa rindu ketika sambutan Maulid Nabi? Fikir-fikirkan.
Mari kita renungi sebuah kisah yang menunjukkan betapa baginda amat merindui kita; umat akhir zaman.
..................................................
Suasana di majlis pertemuan itu hening sejenak. Semua yang hadir diam membatu. Mereka seperti sedang memikirkan sesuatu. Lebih-lebih lagi Saidina Abu Bakar.
Itulah pertama kali dia mendengar orang yang sangat dikasihi melafazkan pengakuan demikian.
Seulas senyuman yang sedia terukir dibibirnya pun terungkai.
Wajahnya yang tenang berubah warna.
"Apakah maksudmu berkata demikian wahai Rasulullah? Bukankah kami ini saudara-saudaramu? " Saidina Abu Bakar bertanya melepaskan gumpalan teka-teki yang mula menyerabut fikiran.
"Tidak, wahai Abu Bakar. Kamu semua adalah sahabat-sahabatku tetapi bukan saudara-saudaraku (ikhwan)," suara Rasulullah bernada rendah.
"Kami juga ikhwanmu, wahai Rasulullah," kata seorang sahabat yang lain pula.
Rasulullah menggeleng-gelangkan kepalanya perlahan-lahan sambil tersenyum.
Kemudian baginda bersuara, "Saudaraku ialah mereka yang belum pernah melihatku tetapi mereka beriman denganku sebagai Rasulullah dan mereka sangat mencintaiku. Malahan kecintaan mereka kepadaku melebihi cinta mereka kepada anak-anak dan orang tua mereka."
Pada ketika yang lain pula, Rasulullah menceritakan tentang keimanan 'ikhwan' baginda: "Siapakah yang paling ajaib imannya?" tanya Rasulullah.
"Malaikat," jawab sahabat.
"Bagaimana para malaikat tidak beriman kepada Allah sedangkan mereka sentiasa hampir dengan Allah," jelas Rasulullah.
Para sahabat terdiam seketika. Kemudian mereka berkata lagi, "Para nabi."
"Bagaimana para nabi tidak beriman, sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka."
"Mungkin kami," celah seorang sahabat.
"Bagaimana kamu tidak beriman sedangkan aku berada ditengah-tengah kau," pintas Rasulullah menyangkal hujah sahabatnya itu.
"Kalau begitu, hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui," jawab seorang sahabat lagi, mengakui kelemahan mereka.
"Kalau kamu ingin tahu siapa mereka? Mereka ialah umatku yang hidup selepasku. Mereka membaca Al Quran dan beriman dengan semua isinya. Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman denganku. Dan tujuh kali lebih berbahagia orang yang beriman denganku tetapi tidak pernah berjumpa denganku," jelas Rasulullah.
"Aku sungguh rindu hendak bertemu dengan mereka," ucap Rasulullah lagi setelah seketika membisu.
Ada berbaur kesayuan pada ucapannya itu.

motivasi untuk berjaya...


Ramai manusia yang ketika hidupnya, dia terlupa untuk merasa diri sebagai hamba. Sehinggalah akhirnya kematian datang menjemputnya, ketika itu penyesalan dengan darah mata sekalipun tidak lagi bermakna.
Mereka ini adalah manusia yang mata hatinya telah dihijab oleh Allah untuk nampak kejelasan tanda-tanda-Nya yang cerah. Kerana mereka sendiri sebelumnya telah menjauhkan diri dari landasan kebenaran. Firman Allah,
"Dan (sebaliknya) sesiapa yang berada di dunia ini (dalam keadaan) buta (mata hatinya) maka dia juga buta di akhirat dan lebih sesat lagi jalannya,"surah Al-Isra' ayat 27.
REDHA TUHAN = BERJAYA
Kita selalu bertanya kepada diri dan orang lain. Kita tanya:
Minta berikan sedikit motivasi, jalan manakah yang paling dekat dengan kejayaan?
Maka saya ingin menyebut jawapan sebegini:
Kita hidup adalah untuk mencari redha Allah SWT. Maka, kejayaan kita yang sebenar adalah apabila segala sesuatu yang kita lakukan adalah untuk mendapat redha Allah SWT.
Pada saya, di sini letaknya motivasi kejayaan kita yang paling besar sebenarnya.
Motivasi yang meletakkan Tuhan sebagai batu asas akan menemui jalan kejayaan yang paling hebat, paling bermakna.
Selaklah sirah baginda nabi, lihatlah kepada para sahabat baginda, telitilah kisah hidup ulama-ulama kita yang terdahulu, yang mereka ini luar biasa bagus dan hebat sekali, kita akan dapati motivasi kejayan mereka adalah redha Sang Pencipta.

takkan pernah...


Terima kasihku takkan pernah terhenti,
Atas kurniaan mereka yang amat berharga ini,
Bagiku,
Mereka takkan pernah terganti.
Tuhan,
Menanti hari demi hari,
Untuk kembali ke masa lalu,
Bagiku,
Ruang dan peluang ini seumpama mimpi.
Bebaskan diri ini,
Terbanglah setinggi langit Ilahi,
Moga selamat pergi dan kembali.
Cinta hatiku bersemi,
Cinta kasihku berlari,
Cintailah yang Maha Tinggi,
Kerna mencintai itu pangkal awal wujud diri,
Oh, bumi ini rindukan Islam lagi

cinta? diamkanlah...


Diam itu lebih baik. Itu yang ingin aku kongsikan pada post kali ini. Topik 'cinta' sangat famous dalam kalangan remaja. Jadi, aku mengambil peluang untuk berkongsi serba sedikit tentang cinta dan bagi aku, andai kita mencintai seseorang maka, diamkanlah. Serahkan segala-galanya kepada Allah S.W.T.
Jika dirimu jatuh cinta, maka diamkanlah. Ini kerana syaitan cuba menyelinap masuk untuk jadikannya cinta bernafsu. Jika dirinya, bukan untukmu, redhailah kerana Allah S.W.T pasti menyediakan seseorang yang lebih beriman untukmu.
DIAM ITU LEBIH BAIK.
Diamku, bukan kerana membenci kehadirannya tetapi ingin menjaga kesuciannya. Hanya Allah S.W.T yang Maha Mengetahui.
Kita diam bukan bermakna kita membenci sesuatu, tetapi mungkin kita ingin menjadikan ia lebih baik. Pernahkah kita terfikir, jika kita hanyut dalam cinta tanpa ikatan yang sah, ia bakal menjadi satu masalah untuk kita kerana kita sentiasa bergelumang dengan dosa.
Apakah yang akan berlaku pada rumahtangga kita? Anak-anak kita?
Adakah kalian masih ingat tentang kisah cinta antara Saidina Ali & Saiditina Fatimah Az-Zahra?
Kedua-dua mereka menyimpan perasaan antara satu sama lain, tetapi mereka lebih memilih untuk mendiamkan hal ini dari pengetahuan orang lain. Dengan izin Allah S.W.T, mereka berdua telah di satukan dengan ikatan yang sah.
"Dinikahi wanita itu kerana empat perkara; kerana hartanya, keturunannya, kecantikkannya dan agamanya. Maka pilihlah dalam hal keagamaannya. Nescaya beruntunglah kedua-dua tanganmu."(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
"Wahai kaum pemuda, siapa saja diantara kamu yang sudah sanggup untuk menikah, maka menikahlah, sesungguhnya menikah itu memelihara mata, dan memelihara kemaluan, maka bila diantara kamu belum sanggup untuk menikah, berpuasalah, karena sesungguhnya puasa tersebut sebagai penahannya."
Ramai yang berkata, jika kita diam, bagaimana si dia hendak tahu tentang perasaan kita?
Ingat, setiap apa yang berlaku di dunia ini, semuanya telah di aturkan oleh Allah S.W.T. Jangan risau jika mereka tidak tahu tentang perasaan kalian, tetapi risaulah andai dirimu tidak berupaya untuk menepis dan mengawal perasaan tersebut terhadap seseorang yang tidak halal bagi dirimu.
Jika benar cinta itu kerana Allah S.W.T, maka biarkanlah ia mengalir mengikuti aliran Allah S.W.T kerana hakikatnya ia berhulu dari Allah S.W.T maka ia pun berhilir hanya kepada Allah S.W.T.
Tetapi, ingatlah..Cinta Allah, adalah cinta yang kekal abadi. Kejarlah cinta Allah S.W.T dahulu kerana kita pasti tidak akan kecewa andai kita berjaya mencintai Allah S.W.T dengan sepenuh hati. Bagaimana kita hendak mencintai seseorang andai kita tidak berusaha untuk kenal dan cintai Sang Penciptanya.
Banyak lagi tugas kita di dunia ini terhadap agama kita. Jangan disebabkan terlalu mengejar cinta manusia, tugas sebagai seorang pendakwah juga kita tidak peduli. Jangan terlalu asyik dengan kehidupan dunia kerana itu hanyalah sementara.
Utamakan akhirat, kerana ia akan kekal abadi. Jika betul-betul sudah bersedia maka kahwinlah.
Post ini adalah untuk peringatan bersama terutamanya untuk diri ini. Semoga kita semua sentiasa di lindungi oleh Allah S.W.T. Jangan pernah kecewa jika kita pernah putus cinta tetapi jadikan ia sebagai pengajaran dalam hidup kita. Berusahalah untuk menjadi hamba yang sempurna di pandangan Allah S.W.T bukan di pandangan manusia.
Untuk Hawa..
Apabila lelaki mengatakan dirimu seorang yang sombong, itu lebih baik kerana itu menandakan dirimu sukar untuk didekati dan kamu telah berusaha untuk menjaga dirimu dan dirinya juga.
Untuk Adam..
Mereka sombong kerana mereka ingin menjaga pergaulan mereka, dan mereka berusaha untuk menghindari dirinya serta dirimu bergelumang dengan dosa. Bersyukurlah kerana dia, anda terselamat dari melakukan dosa. Hormatilah keputusan mereka dan jagalah mereka mengikut peraturan yang telah di tetapkan di dalam Islam.
Bisik hatiku:
"Jika namamu yang ditulis di Luh Mahfuz untuk diriku, nescaya rasa cinta itu akan Allah tanamkan dalam diri kita. Tugas pertamaku bukan mencari dirimu tetapi mensolehahkan diriku."
"Sukar untuk mencari soleh dirimu andai solehahku tidak setanding dengan kesolehahanmu. Janji Allah pastiku pegang dalam misi mencari diri 'Lelaki yang baik untuk wanita yang baik."
Ya Allah...
Seandainya rindu ini suci maka kuatkanlah...
Seandainya ukhuwah ini kudus maka panjangkanlah...
Seandainya luka ini berhikmah maka biarlah...
Seandainya ingatan ini berfaedah maka teruskanlah...